Monday, August 22

Lailatulqadar

Alhamdulillah.
Sempat berpuasa sehingga hari ke-22 bulan Ramadhan dan menunaikan solat sunat tarawih setiap malam. Antara malam-malam Ramadhan, satu malam yang dinamakan Lailatulqadar sangat diberkati dan merupakan malam kebaikan. Telah diriwayatkan bahawa Lailatulqadar adalah lebih afdal daripada seribu bulan. Seribu bulan adalah sama dengan 83 tahun 4 bulan. Sesiapa yang dapat beribadat pada satu malam Lailatulqadar, seolah-olah dia telah menghabiskan masa selama 83 tahun 4 bulan lebih dalam keadaan beribadat. Keadaan yang 'lebih' itu pun tidak diketahui berapa bulan yang lebih afdal daripada seribu bulan. Bertuahlah orang yang mendapat taufik untuk beribadat pada malam Lailatulqadar. Bagi mereka yang tahu menghargainya, Lailatulqadar adalah hadiah yang tidak ternilai yang telah dikurniakan.


Dari Hazrat Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam Lailatulqadar dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu."

Thursday, August 18

Ikhlas

Hazrat Anas bin Nadhr r.a ialah seorang sahabat yang tidak dapat menyertai peperangan Badar. Beliau sedih tentang perkara itu dan mengutuk dirinya dengan berkata, "Badar ialah peperangan yang pertama dan agung dalam Islam sedangkan engkau tidak dapat menyertai peperangan itu."

Beliau bercita-cita sekiranya ada peperangan lain maka belaiu akan tunaikan tuntutan semangatnya. Secara kebetulan peperangan Uhud pun tiba, maka beliau telah menyertai peperangan itu dengan penuh kepahlawanan dan keberanian. Dalam peperangan Uhud, orang Islam telah menang pada permulaan perang itu. Tetapi, akibat satu kesilapan, orang Islam akhirnya kalah. Kesilapan tersebut berlaku begini. Rasulullah S.A.W telah menetapkan beberapa orang di sebuah bukit yang tertentu dengan bersabda, "Selagi saya tidak memberi arahan, kamu jangan tinggalkan bukit itu kerana musuh mungkin akan menyerang dari tempat itu."

Orang Islam telah menang pada mulanya. Kemudian apabila tentera-tentera yang berada di atas bukit melihat orang kafir melarikan diri maka kebanyakkan mereka telah turun dari bukit itu dengan menyangka bahawa peperangan sudah berakhir. Oleh sebab itu, mereka berlari-lari mengejar orang kafir untuk mendapatkan harta rampasan. Ketua jemaah tersebut telah melarang dengan berkata, "Ini adalah larangan Rasulullah S.A.W, kamu jangan tinggalkan tempat ini."

Walau bagaimanapun, mereka menyangka bahawa perintah Rasulullah S.A.W hanya semasa pertempuran sahaja. Oleh itu, mereka turun dari tempat tersebut dan menuju ke medan. Semasa melarikan diri, orang kafir telah ternampak yang bukit itu telah dibiarkan kosong lalu mereka pun datang dari arah tersebut dan membuat serangan. Pada ketika itu, orang Islam berada dalam keadaan leka. Tanpa disedari, orang kafir telah melancarkan serangan mengejut dan ini menyebabkan orang Islam rasa tertekan. Tambahan pula, orang Islam berada di tengah-tengah orang kafir yang menyerang dari kedua-dua arah. Oleh sebab itu, mereka lari tidak tentu hala.

Hazrat Anas r.a ternampak seorang sahabat, Hazrat Sa'ad bin Ma'az r.a datang dari arah hadapan. Beliau berkata, "Wahai Sa'ad, ke mana engkau hendak pergi? Demi Allah, keharuman syurga sedang datang dari arah bukit Uhud."

Setelah berkata demikian, beliau menyerbu ke arah kumpulan orang kafir dengan pedang yang masih terhunus di tangan. Selagi tidak syahid, selagi itu beliau tidak akan pulang. Setelah gugur syahid, didapati badannya telah cedera parah. Terdapat lebih daripada lapan puluh (80) liang luka pada badannya akibat terkena pedang dan anak panah. Saudara perempuan beliau sahaja yang dapat mengenalinya melalui hujung jari beliau.


Keterangan:
Orang yang terlibat dengan kerja-kerja agama Allah S.W.T (Islam) dengan ikhlas dan keinginan yang sejati akan dapat merasai kelazatan syurga dalam dunia ini lagi. Hazrat Anas r.a menciun bau syurga semasa masih hidup di dunia lagi. Sekiranya kita juga menjadi orang yang ikhlas maka kelazatan syurga akan dikecapi di dunia ini lagi.

Wednesday, August 17

Rukun Islam

Diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Umar r.anhuma katanya Rasulullah S.A.W bersabda, "Islam dibina atas lima (rukun). Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah S.W.T dan Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Maksud:
Kelima-lima perkara di atas merupakan asas Islam yang unggul dan rukun yang penting. Dalam hadith ini, Rasulullah S.A.W mengibaratkan Islam sebagai sebuah khemah yang ditegakkan oleh lima batang tiang. Tiang tengah adalah kalimah syahadah, sementara keempat-empat tiang di empat penjuru khemah itu merupakan empat lagi rukun Islam yang lain. Tanpa tiang tengah, khemah tersebut tidak boleh ditegakkan sam sekali. Jika khemah itu ada tiang tengah dan salah satu daripada empat tiang tadi tidak ada, maka khemah itu masih dapat ditegakkan tetapi penjuru yang tiada tiang akan cacat dan condong.


Dari hadith Rasulullah S.A.W yang tersebut, marilah kita sama-sama menyemak diri kita sendiri sejauh manakah teguhnya khemah yang telah kita dirikan itu dan rukun Islam manakah telah dapat kita jaga dengan sempurna?




Assalamualaikum..

Tuesday, August 16

Senarai Emosi


Kecerdasan emosi sebagai satu sub-ilmu dalam disiplin psikologi masih baru. Namun emosi atau perasaan sebagai satu unsur yang terdapat pada manusia sudah dikaji sejak beratus-ratus tahun lalu. Emosi manusia bukan hanya menjadi subjek kajian dan eksperimen ahli-ahli psikologi dan klinikal. Pendek kata, emosi yang dimiliki manusia menjadi subjek dalam pengendalian ilmu pengetahuan. Kecerdasan emosi mencakupi pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta kemampuan memotivasikan diri sendiri dan bertahan menghadapi kegagalan, kesanggupan mengendalikan dorongan hati dan emosi, tidak melebih-lebihkan kesenangan, dan dapat mengurus perasaan. Konsep Emotion Quotient (EQ) atau kecerdasan emosi adalah konsep kecerdasan yang lebih luas dan ada kaitan dengan kesedaran terhadap emosi dan perasaan dan bagaimana perasaan dapat berinteraksi dengan kecerdasan mental (IQ). Dalam portfolio ini terdapat perkataan emosi serta huraiannya, refleksi introspektif perkembangan tahap kompetansi kecerdasan emosi diri sendiri dari beberapa aspek. Juga terkandung contoh situasi yang mencabar dan cadangan strategi untuk mengurus emosi berdasarkan sutuasi tersebut. Akhirnya, terdapat peranan guru yang membantu dalam perkembangan kecerdasan emosi.


Senarai perkataan emosi.

1.    Kasih
·        Perkataan kasih membawa maksud perasaan atau berperasaan sayang terhadap seseorang. Perkataan ini juga boleh dikatakan sebagai perasaan penghargaan atas pemberian seperti pertolongan yang telah diperolehi oleh seseorang. Boleh dirumus sebagai perasaan cinta akan seseorang.

2.  Marah
·        Perkataan ini pula membawa maksud berasa panas hati, berang, gusar dan sebagainya. Perasaan ini lahir kerana rasa tertipu atau telah dihina oleh seseorang.

3.    Hairan
·        Perkataan hairan merujuk kepada perasaan pelik ketika melihat sesuatu. Boleh juga dikatakan perasaaan ganjil ketika melihat atau mendengar suatu berita
4.    Puas
·        Perkataan puas boleh ditakrif sebagai berasa senang, kenyang dan lega apabila sesuatu yang dikehendaki atau dimpikan sudah tercapai.

5.    Selamat
·        Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa, perkataan selamat boleh didefinisikan sebagai perasaan yang aman dan sejahtera daripada berlakunya sebarang ganguan.

6.    Bimbang
·       Bimbang adalah satu emosi berasa gelisah atau tidak senang hati. Ini kerana memikirkan sesuatu yang tidak diingini mungkin berlaku. Perasaan bimbang lahir apabila seseorang berasa takut atau khuatir.

7.    Bangga
·       Bangga membawa maksud berasa megah atau berbesar hati apabila mendapat kejayaan.

8.    Gelisah
·       Gelisah adalah perasaan tidak tenteram atau tidak sabar kerana menantikan sesuatu. Ini juga boleh dikatakan sebagai perasaan risau akan sesuatu dengan hati yang tidak tenang.

9.    Dihargai
·       Perasaan dihargai ditakrifkan sebagai perasaan yang menunjukkan penghargaan dan penghormatan kepada seseorang.



10. Malu
·       Perasaan malu bermakna berasa hina dan rendah serta tidak senang apabila telah melakukan perbuatan yang salah atau perkara yang tidak sopan.

Monday, August 15

Tunjang Kebijaksanaan.

Sukar untuk kita merangkumi semua ayat Al-Quran, hadith Rasulullah (S.A.W) dan kisah para ahlullah tentang sifat takutkan Allah (S.W.T). Walau bagaimanapun, secara ringkasnya kita perlu memahami bahawa kunci untuk mendapat kesempurnaan dalam agama Islam adalah sifat takutkan Allah. Rasulullah (S.A.W) bersabda, "Tunjang kebijaksanaan adalah sifat takutkan Allah."

Hazrat 'Abdullah bin 'Umar r.anhuma selalu menangis sehingga matanya menjadi rosak. Pada suatu ketika, seseorang telah ternampak beliau sedang menangis. Maka Hazrat 'Abdullah bertanya, "Adakah kamu hairan dengan tangisanku? Matahari pun menangis kerana takutkan Allah (S.W.T)."

Pada suatu ketika yang lain berlaku peristiwa yang seumpama ini, beliau berkata, "Bulan pun menangis kerana takutkan Allah (S.W.T)."

Rasulullah (S.A.W) telah lalu berhampiran dengan seorang sahabat yang muda. Beliau sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai pada ayat,


 فَإِذَا انْشَقَّتِ السَّمَاءُ فَكَانَتْ وَرْدَةً كَالدِّهَانِ

yang bermaksud, "Selain itu (sungguh ngeri) tatkala langit pecah belah, lalu menjadi merah mawar, berkilat seperti minyak." (Surah Ar-Rahman 55:ayat 37), bulu romanya berdiri tegak. Beliau menangis teresak-esak sehinggga sesak nafasnya sambil berkata, "Apakah akan terjadi kepadaku pada hari yang langit pun akan terbelah (hari kiamat)? Binasalah diriku." Rasulullah (S.A.W) bersabda kepadanya, "Malaikat pun turut menangis kerana tangisanmu itu."

Setelah bersolat tahajud, seorang sahabat Ansari r.a duduk dan menangis sambil berkata, "Hanya kepada Allah (S.W.T) aku merayu agar diselamatkan daripada neraka jahanam." Rasulullah (S.A.W) bersabda, "Hari ini, kamu telah menyebabkan para malaikat turut menangis."


Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ
 آَيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hatinya, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Surah Al-Anfal 8: ayat 2)


Assalamualaikum..