Monday, August 15

Tunjang Kebijaksanaan.

Sukar untuk kita merangkumi semua ayat Al-Quran, hadith Rasulullah (S.A.W) dan kisah para ahlullah tentang sifat takutkan Allah (S.W.T). Walau bagaimanapun, secara ringkasnya kita perlu memahami bahawa kunci untuk mendapat kesempurnaan dalam agama Islam adalah sifat takutkan Allah. Rasulullah (S.A.W) bersabda, "Tunjang kebijaksanaan adalah sifat takutkan Allah."

Hazrat 'Abdullah bin 'Umar r.anhuma selalu menangis sehingga matanya menjadi rosak. Pada suatu ketika, seseorang telah ternampak beliau sedang menangis. Maka Hazrat 'Abdullah bertanya, "Adakah kamu hairan dengan tangisanku? Matahari pun menangis kerana takutkan Allah (S.W.T)."

Pada suatu ketika yang lain berlaku peristiwa yang seumpama ini, beliau berkata, "Bulan pun menangis kerana takutkan Allah (S.W.T)."

Rasulullah (S.A.W) telah lalu berhampiran dengan seorang sahabat yang muda. Beliau sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai pada ayat,


 فَإِذَا انْشَقَّتِ السَّمَاءُ فَكَانَتْ وَرْدَةً كَالدِّهَانِ

yang bermaksud, "Selain itu (sungguh ngeri) tatkala langit pecah belah, lalu menjadi merah mawar, berkilat seperti minyak." (Surah Ar-Rahman 55:ayat 37), bulu romanya berdiri tegak. Beliau menangis teresak-esak sehinggga sesak nafasnya sambil berkata, "Apakah akan terjadi kepadaku pada hari yang langit pun akan terbelah (hari kiamat)? Binasalah diriku." Rasulullah (S.A.W) bersabda kepadanya, "Malaikat pun turut menangis kerana tangisanmu itu."

Setelah bersolat tahajud, seorang sahabat Ansari r.a duduk dan menangis sambil berkata, "Hanya kepada Allah (S.W.T) aku merayu agar diselamatkan daripada neraka jahanam." Rasulullah (S.A.W) bersabda, "Hari ini, kamu telah menyebabkan para malaikat turut menangis."


Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ
 آَيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hatinya, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Surah Al-Anfal 8: ayat 2)


Assalamualaikum..

No comments: